Kelebihan Solat Secara Saintifik
Ibadat solat menghasilkan keadaan tenang kepada otak manusia dan
menunaikan solat amat baik dalam mengekalkan tahap kestabilan mental dan
emosi seseorang.
KEWAJIPAN bersolat lima kali sehari semalam ke atas semua umat Islam
bermula sejak Rasulullah diangkat ke langit semasa peristiwa Israk dan
Mikraj. Begitu istimewa sekali ibadah solat sehingga Rasulullah SAW naik ke
langit bagi menerima Rukun Islam yang kedua ini, tidak seperti
ibadah-ibadah lain.
Keistimewaan solat menarik minat sekumpulan penyelidik Universiti Malaya (UM) selepas menerima cabaran Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa beliau menjadi perdana menteri.
Cetusan berkenaan timbul memandangkan masih belum terdapat kajian yang komprehensif mengenai solat dari segi saintifik.
Kajian solat yang dijalankan oleh Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan,
Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM) diketuai oleh Prof. Madya
Dr. Fatimah Ibrahim serta Prof. Dr. Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew
Cheok menerusi pembiayaan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Dr. Fatimah berkata, kajian yang dijalankan buat masa ini masih di
peringkat asas dan bertujuan mengkaji kesan ke atas perkara seperti
komposisi tubuh badan dan kolestrol. Sistem jantung dan kardiovaskular, gelombang otak ketika bersolat,
kekuatan otot-otot tubuh badan manusia, sakit pinggang bagi orang dewasa
serta kesihatan lelaki dan tenaga batin.
“Komposisi tubuh badan manusia meliputi parameter bioimpedance, kuantiti
air intra selular dan ekstra selular, jisim sel badan, kadar lemak dan
kolestrol dalam darah.
“Pengukuran parameter ini amat penting dalam menentukan tahap
metabolisme, kecergasan dan kesihatan seseorang individu,” katanya yang
menjalankan kajian mengenai komposisi badan.
Kajian komposisi badan terbahagi kepada dua iaitu kebaikan solat zohor dan solat tarawikh terhadap komposisi badan.
Dr. Fatimah berkata, pergerakan solat yang melibatkan keadaan berdiri
tegak, rukuk, duduk dan sujud secara tertib dan berulang boleh
diumpamakan sebagai senaman ringan.
“Kami menjalankan kajian komposisi badan semasa seseorang bersolat Zohor
secara jemaah dengan 47 orang peserta berusia 18 hingga 28 tahun,”
katanya. Pengukuran analisis bioimpedans (BIA) (kaedah yang digunakan untuk
mengukur komposisi badan) diambil sebelum dan selepas solat Zohor secara
berjemaah.
Bagaimanapun lima tabiat lazim peserta perlu diambil kira meliputi
amalan solat yang sempurna, tahap pemahaman bacaan, menunaikan solat
secara berjemaah atau sendirian, kedudukan tulang belakang semasa rukuk
dan keadaan jari kaki semasa sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyat
akhir.
Dr. Fatimah berkata, keputusan menunjukkan mereka yang mengamalkan solat
yang sempurna mempunyai tahap kesihatan yang lebih baik berbanding
mereka yang tidak melakukannya dengan sempurna. Kajian berkenaan kata Dr. Fatimah menunjukkan solat lima kali sehari semalam selain ibadah dapat mengurangkan lemak dalam badan.
“Apabila gumpalan lemak dalam badan berkurangan, tisu otot baru
meningkat, memenuhi ruang, melambatkan proses penuaan dan kekenduran
tisu,” katanya.
Tabiat mengamalkan kedudukan tulang belakang lurus melintang ketika
rukuk melambatkan proses penuaan, tisu bertambah aktif, proses imbangan
air dalam badan lebih baik dan melancarkan fungsi buah pinggang. Manakala sistem jantung dan kardiovaskular amat penting bagi kesihatan manusia dan dipengaruhi oleh kekenyalan arteri. Jika kekenyalan arteri terutama di bahagian jantung berkurangan, ia boleh menyebabkan berlaku penyakit arterioskerosis koronari. Pengekalan kekenyalan arteri amat penting dalam memelihara sistem kardiovaskular yang sihat.
Ibadat solat, kata Dr. Fatimah, bukan saja melibatkan bacaan surah
al-Quran tetapi juga pergerakan anggota badan seperti berdiri, rukuk,
sujud dan duduk tahiyat.
“Kajian menunjukkan kedudukan seperti rukuk, sujud dan duduk membantu memberikan keadaan rehat kepada jantung.
Sujud
“Malah kita digalakkan memanjangkan tempoh posisi sujud kerana kedudukan
ini menghasilkan kadar denyutan jantung paling rendah,” katanya. Ng Siew Chok yang menjalankan kajian otak dalam solat berkata, setiap
pergerakan manusia menghasilkan corak gelombang otak yang tertentu dan
unik.
Gelombang otak yang dihasilkan ketika pergerakan meliputi gelombang alfa, beta dan gamma. Kajian akan dilakukan ke atas gelombang otak yang dihasilkan ketika
bersolat pada setiap posisi seperti rukuk, sujud, iktidal dan duduk
semasa tahiyat.
“Solat jelas secara umumnya melibatkan pembacaan serta penghayatan ayat suci al-Quran, doa-doa serta pergerakan yang didapati menyamai meditasi. “Semasa solat, berhenti seketika sebelum bertukar posisi atau tamakninah boleh dikatakan seseorang berada dalam ketenangan,” katanya. Dalam kajian ini isyarat otak subjek Muslim yang bersolat direkod dan dianalisis, di mana dua kajian saintifik dilakukan iaitu perubahan isyarat otak semasa tamakninah dan kesan solat kepada isyarat otak.
Hasilnya, kata Siew Cheok, didapati ibadat solat menghasilkan
keadaan tenang kepada otak manusia dan menunaikan solat amat baik dalam
mengekalkan tahap kestabilan mental dan emosi seseorang.
Kajian juga menunjukkan ibadat solat dapat meningkatkan penumpuan dan daya ingatan.
Maka solat dapat menyediakan otak untuk lebih bersedia dalam menghadapi tugas-tugas yang lebih mencabar. “Dan biasanya selepas melakukan solat, seseorang akan menjadi lebih
berwaspada untuk bertindak balas terhadap sebarang rangsangan,” katanya.
Pergerakan solat meliputi berdiri tegak, rukuk, sujud dan duduk melibatkan pergerakan seluruh otot tubuh badan. Pergerakan otot-otot secara isotonik dan isometrik meningkatkan fungsi
dan kekuatan otot dan kajian yang dilakukan merangkumi otot utama yang
penting kepada kesihatan manusia.
Pergerakan relatif
Ibadah solat kata Prof. Wan Abu Bakar melibatkan banyak pergerakan
relatif antara sendi selain postur tertentu semasa solat juga meletakkan
otot pada kedudukan mengecut, santai atau mengembang. “Selain ibadah, solat boleh dianggap sebagai senaman fizikal yang
sederhana yang melibatkan pergerakan badan seperti berdiri, tunduk,
duduk dan sujud.
“Sakit pinggang merupakan masalah yang biasa berlaku bagi golongan
dewasa dan mereka yang bekerja,” katanya yang menjalankan kajian otot
dalam solat. Terapi senaman melalui pergerakan solat yang betul dapat mengembalikan
keupayaan kelenturan badan, mengekalkan postur badan yang ideal dan
membantu mengurangkan sakit pinggang. Dr. Fatimah berkata, pergerakan solat terutama rukuk dan sujud didapati
menyamai beberapa pergerakan senaman stabilisasi dan regangan belakang.
“Pergerakan rukuk hampir sama dengan senaman ‘selamat pagi’ yang bukan saja dapat membantu regangan otot pada bahagian paha tetapi juga melatih koordinasi otot belakang kaki,” katanya yang juga menjalankan kajian mengenai solat dan sakit pinggang
.
Kajian yang dijalankan merumuskan pergerakan dalam solat dapat
memberikan kebaikan dalam memulihkan dan membantu mengembalikan
kenormalan fungsi aktiviti otot erektor spina terutama bagi mereka yang
mengalami sakit pinggang. Justeru, jelas beliau pergerakan rukuk semasa solat boleh digunakan sebagai terapi untuk merawat sakit pinggang.
Selain itu, pergerakan fizikal atau senaman sederhana secara berterusan
dapat mencergaskan sistem andrologi dan meningkatkan kekuatan tenaga
batin lelaki. Solat fardu yang dilakukan lima kali sehari di samping solat sunat serta
sunat tahajud sebagai pelengkap ibadah merupakan satu terapi yang
memberikan kesan positif ke atas sistem andrologi dan kekuatan tenaga
batin lelaki.
Kajian yang dijalankan menunjukkan senaman pengaktifan otot lantai
pelvik oleh penyelidik Van Kampen membuktikan senaman dapat melancarkan
pengaliran darah dan mengurangkan masalah disfungsi ereksi atau mati
pucuk. “Bagaimanapun banyak lagi kajian lanjut yang sedang dijalankan bagi mengkaji lebih lanjut mengenai solat,” katanya.
Artikel oleh :
KHAIRUNNISA SULAIMAN
nisa.sulaiman@utusan.com.my
No comments:
Post a Comment